Thursday, February 12, 2009

Nizar yang dikagumi

By: Ahmad Lutfi Othman

Memang berat ujian buat Nizar Jamaluddin. Bagaimanapun Menteri Besar Perak ini - yang dititah letak jawatan oleh Sultan Perak namun enggan berbuat demikian - yakin beliau berada di jalan yang benar. Wajahnya tetap ceria dan berseri, cuba menyembunyikan rasa letih meniti hari yang padat. Matanya merah petanda tidak cukup tidur. Beberapa ayat awal surah ad-Dhuha menjadi rukun dalam mukadimah ucapannya, termasuk semasa wawancara eksklusif kami dengannya, juga ketika berpidato ringkas di depan Kuil Kallumaii Arul Subramaniar, Gunung Cheroh, Ipoh, pagi 8 Feb lalu.


Biarpun boleh dianggap pendatang baru dalam dunia politik, dan tiba-tiba dilantik menjadi Menteri Besar Perak, sesuatu yang tidak pernah termimpi oleh pimpinan Perak negeri itu, Nizar memang cepat belajar dan mudah menguasai persekitarannya. Berdepan tuduhan menjadi boneka DAP, menjual kepentingan Melayu, diapit tujuh Exco bukan Islam, ditambah Speaker dan Timbalan Speaker juga bukan Islam, dengan tenang Nizar mengemudi bahtera Kerajaan Negeri Perak selama 11 tahun. Justeru, tuduhan bahawa beliau kini seorang penderhaka bukan isu besar baginya.

Pada hari paling kritikal, 5 Feb, Nizar mengikuti satu program Koridor Utara di Bagan Serai bersama Perdana Menteri. Dalam ucapannya, Abdullah Ahmad Badawi langsung tidak menyebut nama Nizar walhal beliau masih seorang menteri besar. Esoknya, akhbar perdana turut "menggelapkan" kehadirannya di majlis berkenaan. Difahamkan Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara, Anuar Zaini yang sepatutnya berada bersama Abdullah sedang rancak "mengatur nasib" Nizar di Istana Kinta. Anuar dikatakan dalang yang cuba merosakkan hubungan baik Nizar dengan istana, dan menganggu pentadbiran kerajaan negeri. Nizar sendiri pernah memaklumkan hal itu kepada Raja Nazrin Shah, rakan karib Anuar.

Menurut laporan akhbar, Nizar secara tergesa-gesa meninggalkan majlis di Bagan Serai itu untuk menghadap Sultan. Jam 12.45 tengah hari, Nizar dilihat memasuki Istana Kinta dan keluar kira-kira 20 minit kemudian dengan mengangkat tangan menunjukkan isyarat bagus sambil berkata 'insya-Allah' kepada sekumpulan wartawan. Ramai menjangkakan baginda telah memperkenan permohonan Nizar untuk membubarkan Dun. Rupanya tidak, isyarat bagus bagi Nizar adalah tanda beliau berpuas hati dapat menjelaskan semua yang terbuku di dadanya kepada Sultan. Nizar memberitahu kami, Sultan hanya diam tunduk mendengar hujahnya.

Selama ini, sejarah pendek negara kita menyaksikan bahawa tiada tokoh politik yang "selamat" jika bertembung dengan pihak istana. Konflik dengan istana rasanya tidak pernah dimenangi oleh orang politik. Justeru, apakah kita boleh bayangkan bagaimana episod ini bakal berakhir? Ternyata Nizar sendiri sukar meramalkannya, namun membayangkan ia dapat membawa kesan positif akhirnya buat rakyat dan negara. Beliau mohon kami mengulas krisis di Perak itu dari sudut yang jarang terfikir oleh orang lain. Saya sendiri agak termangu mendengarnya.

Memang Nizar di pihak yang benar. Sultan tiada kuasa untuk menitahkannya meletakkan jawatan. Di bawah sistem Raja Berperlembagaan, Sultan juga harus tunduk dengan undang-undang dan peraturan. Baginda tidak boleh masuk campur sewenang-wenangnya dalam pemerintahan negeri. Dalam situasi genting di Perak apabila BN dan Pakatan Rakyat mempunyai jumlah kerusi yang sama, dan tiga kerusi penentu wakil Bebas sedang dirujuk ke mahkamah, baginda sewajarnya memenuhi permohonan untuk membubarkan Dun. Ia langkah paling adil untuk semua pihak dan tidak dilihat memihak kepada mana-mana parti. Jika dirasakan Nizar sudah tidak mendapat kepercayaan majoriti Adun, baginda boleh menolak permohonan Menteri Besar itu dan membiarkan sahaja sidang Dun memutuskan undi tidak percaya kepada Nizar. Langkah baginda melantik menteri besar baru telah mengeruhkan lagi suasana dan langsung tidak membantu untuk memulihkan keadaan.

Memerhatikan dari dekat semasa beliau melawat tapak perayaan Thaipusam di Gunung Cheroh, saya yakin Nizar berjaya menawan hati rakyat Perak dari pelbagai kaum dan agama itu. Wajah orang ramai yang bersalaman dengannya, termasuk anak-anak kecil yang belum bersekolah, begitu ceria dan nampak senang sekali. Mereka bersorak gembira memanggil namanya sambil melambai-lambaikan tangan.

Malah ketika Anwar Ibrahim mengumumkan pada majlis ceramah perdana di kediaman rasmi menteri besar, saya dapat mengesan reaksi pantas hadirin dari masyarakat Tionghua. Semasa Anwar menegaskan bahawa jika berlaku pilihan raya negeri dan Pakatan menang, tiada calon yang akan dipilih menjadi menteri besar melainkan Nizar, beberapa anak muda Cina bertepuk sepuas hati. Mereka betul-betul gembira tidak terkata! _

Tuesday, February 10, 2009

Tenangkah mereka???


Akan berpanjangankah senyuman pengkhianat rakyat ini....
Moga Allah sahaja akan membalas segala apa yang mereka lakukan....

Wahai MBku


Semoga kau tabah menghadapi segala dugaan ini....
Sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang bersabar....

Saturday, February 7, 2009

Pandangan Peguam dalam isu Perak

Saya tertarik dengan pandangan sahabat saya saudara Fadzli Bin Mohd. Ramly seorang peguam tentang isu di Perak dari aspek perundangan dan pelembagaan. Saya petik artikel ini dari blog beliau di : http://peguamkita.blogspot.com/

Saya sebenarnya cuba mengelak diri dari menyentuh soal politik dalam blog saya ini. Tapi keadaan semasa seolah-olah membuatkan saya rasa berdosa dan seperti 'syaitan bisu' sekiranya saya diam membatu. Saya gagal melawan runtunan jiwa dan warna sebenar saya.

Tidak dapat saya nafikan bahawa isu yang berlaku di Perak adalah merupakan persoalan perlembagaan dan isu perundangan. Tetapi saya amat berkeyakinan dan menegaskan bahawa isu sebenar di Perak adalah kuasa eksekutif dan sistem beraja telah 'merompak' kerajaan negeri dari rakyat Perak!

Isu pertama adalah adalah kuasa sultan untuk mengarahkan perletakkan jawatan Menteri Besar dari Nizar. Saya bersedia untuk bertanggungjawab menyatakan bahawa tindakan Sultan adalah salah di sisi undang-undang! Perlembagaan Negeri Perak memperuntukkan bahawa Menteri Besar tidak memegang jawatan tersebut dengan perkenan Sultan.
Artikel 16(6) Perlembagaan Perak menyebut :

If Menteri Besar ceases to command the confidence of the majority of the members of the Legislative Assembly, then, unless at his request His Royal Highness dissolves the Legislative Assembly, he shall tender the resignation of the Executive Council.
Soalan saya: Bagaimana hendak menentukan bahawa MB telah hilang keyakinan di DUN? Siapa yang berhak menentukan kehilangan keyakinan tersebut? adakah Sultan berhak menentukannya? atau dimana kita hendak mengukur bahawa MB telah kehilangan mandat negeri?

Yang berlaku: satu sidang akhbar Najib bersama-sama ADUN-ADUN yang dikatakan melompat dan diistiharkan bahawa BN telah memperolehi majoriti yang cukup untuk tubuh kerajaan negeri! Saya nak tegaskan bahawa perkara ini adalah tidak sah untuk mengesahkan bahawa MB telah hilang keyakinan di DUN Perak! Malah ianya adalah salah sama sekali di sisi undang-undang! Hanya satu cara iaitu dibuat di dalam persidangan Dewan Undangan Negeri. Cara untuk mengarahkan MB meletakkan jawatan adalah melalui Undi Tak Percaya di DUN. Sultan tidak boleh hanya mengarahkan MB mengosongkan jawatan begitu sahaja!

Kedua: Siapakah sebenarnya memegang majoriti di DUN Perak? Menjawab isu ini adalah perlu untuk kita melihat terhadap kedudukan 3 anggota "Bebas". Terdapat pertikaian terhadap perletakan jawatan mereka. Justeru, dapatkah kita menyimpulkan siapa yang memiliki majoriti? Kita mungkin akan menghujahkan bahawa SPR telahpun menolak surat perletakan jawatan ketiga-tiga ADUN tersebut. Persoalannya adakah SPR mempunyai bidangkuasa menolak surat perletakan jawatan tersebut yang diserahkan oleh Speaker DUN Perak kepada mereka?

Dari aspek perundangan, saya nak tegaskan bahawa SPR tidak mempunyai apa-apa kuasa melalui samada Perlembagaan Persekutuan, Akta SPR 1957 mahupun Akta Pilihanraya 1958. SPR telah melangkaui kuasanya yang sedia ada! Yang ada hanyalah, peruntukan apabila Speaker DUN memaklumkan SPR kekosongan kerusi DUN terbabit, terima dan laksanakan Pilihanraya Kecil di kawasan terbabit. Saya sangat percaya bahawa SPR telah jadi "tapir tunggangan" apabila membelakangkan arahan Speaker tersebut!

Dengan berkeadaan 28 kerusi Pakatan, 28 kerusi BN dan 3 Bebas, keadaan Perak amat tidak menentu. Bagaimana pula 3 Bebas kembali menyokong Pakatan? Tak ke haru jadinya..Oleh itu cara terbaik adalah serahkan kembali kepada rakyat melalui Pilihanraya negeri! Nasib dan mandat rakyat Perak tidak harus diserahkan hanya kepada pemimpin korup dan seorang Sultan.

Saya berhujah di sini bukanlah berniat untuk menderhakai Sultan dan sistem Raja Berpelembagaan negara ini. Saya percaya bahawa hujah saya ini adalah amat konstitutional dan mengikut peruntukan undang-undang yang ada.
Saya hanya penderhaka kepada sistem yang khianat kepada rakyat!

Mana hujah dan Fakta Kerajaan BN Sah - Posted by angkasanuri

Sehingga hari ini saya masih belum menemui dan membaca sebarang hujah dan fakta bahawa 'kerajaan BN' di Perak dan sah. Semua media dan blog pro umno sehingga hari ini masih belum dan gagal mengemukakan fakta dan peruntukan undang-undang serta pelembagaan tentang 'keabsahan' 'kerajaan BN' di Perak. Setakat ini hanya logik akal dan pandangan yang bersifat emosional sahaja untuk mengesahkan 'kerajaan BN' di Perak.

Kalau setakat berhujah, Sultan dah restu dan BN dapat lebih kerusi itu hujah budak-budak sekolah. Begitu juga kalau setakat berkata, rakyat tak boleh menderhaka pada raja-raja Melayu itu hujah dalam kitab Sejarah Melayu yang saya belajar dulu!

Cabaran saya kepada mereka yang mengatakan 'kerajaan BN' adalah sah sila nyatakan dan kemukan hujah berdasarkan undang-undang dan pelembagaan.

Jadi apa lagi yang ingin dipertahankan? Mereka tidak boleh melenting kalau dikatakan 'kerajaan BN' di Perak kerajaan Lanun, kerajaan zionis, kerajaan samseng atau menurut Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai kerajaan haram kerana BN dan Umno sehingga hari ini masih tidak mampu berhujah dari segi fakta dan pelembagaan untuk menghalalkan tindakan mereka di Perak.

Syabas dan tahniah kepada media alternatif dan bloggers yang dapat berhujah dengan fakta dan ilmiah.